Monday, September 12, 2011

Kontroversi Sejarah: Apa Pendirian PAS?

Oleh : Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
1. PAS menolak dan tidak pernah menyokong fahaman, golongan mahupun gerakan komunis.

2. PAS menganggap peristiwa Bukit Kepong 1950 adalah satu tragedi, tapi berpendirian bahawa Mat Indera patut digolongkan sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan yang berhaluan kiri.

3. PAS tegas mempertahankan fakta bahawa transkrip ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada Ogos 21 di Tasek Gelugor hanya mengiktiraf Mat Indera sebagai hero tanpa kaitan dengan komunis, akan tetapi akhbar Utusan Malaysia memutarkan kenyataan beliau sehingga melabelkan Mohamad and PAS sebagai penyokong komunis bermula 27 Ogos untuk 13 hari berturut-turut. Ini adalah satu tuduhan fitnah yang langsung tidak masuk akal.

4. PAS yakin dengan hasil penyelidikan yang tercatat di dalam buku ‘Pengukir Nama Johor’ terbitan Yayasan Warisan Johor pada 2004 bahawa Mat Indera adalah salah seorang agamawan dan juga pejuang kemerdekaan.

5. PAS juga yakin dengan hasil penyelidikan yang dibuat Ayub @ Uiop Kassim pada tahun 1973 untuk memenuhi keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, bertajuk “Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem” yang menyimpulkan bahawa Mat Indera bukan berfahaman komunis.

6. PAS berpendirian perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan bermula jauh lebih awal sebelum Umno ditubuhkan. Para pejuang kemerdekaan berhala kiri, yang mengambil ‘total confrontation approach’ menuntut kemerdekaan seperti Mat Indera, Rosli Dohbi, Datuk Maharajalela di Perak, Tok Gajah, Tok Bahaman di Pahang, Dol Said di Negeri Sembilan and Melaka, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu dan lain-lain lagi juga mesti diberi tempat dalam sejarah untuk jasa mereka.

7. PAS berpendirian bahawa Umno tidak pernah mengangkat senjata untuk mendapatkan kemerdekaan. Pejuang-pejuang lain yang menggadaikan nyawa mereka sehingga menyebabkan penjajah dalam keadaan amat parah. Apa yang Umno buat ialah menjalankan pusingan keempat yang akhir dan menuntut kredit mutlak atas kejayaan tersebut, tanpa sebarang pengiktirafan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang tersungkur dalam tiga pusingan awal yang berjaya melemahkan kuasa penjajah. Walaubagaimanapun, PAS tidak menafikan bahawa Umno, walaupun sekadar melaksanakan tugas terakhir untuk mendapat kemerdekaan, mempunyai sedikit jasa dalam mendapatkan kemerdekaan negara.

8. Umno sekadar penerima manfaat terakhir yang mendapatkan kemerdekaan tapi dengan cara kanan, iaitu ‘peaceful cooperation’ dengan penjajah British. Oleh itu, mereka tidak boleh menafikan bahawa para pemimpin mereka pernah menjadi pegawai British satu masa dahulu.

Ini pendirian PAS dalam menafsir sejarah pra-kemerdekaan, sudah tentunya ia berbeza dengan pendapat Umno. Harus ditegaskan bahawa soal menafsir sejarah dan meneliti semula sejarah berkait rapat dengan jumlah maklumat yang ada dan juga persepsi kita dalam melihat sesuatu isu.

Kita harus “bersetuju untuk tidak bersetuju” dalam kajian sejarah, kerana ia juga amat bergantung kepada jumlah maklumat yang ada sebelum seseorang itu boleh membuat kesimpulan yang tepat.

Dalam isu menafsir sejarah, semua pihak dinasihatkan untuk mengamalkan prinsip “bersetuju untuk tidak bersetuju” (agree to disagree) dan menghentikan serangan peribadi kepada mana-mana pihak hanya kerana tafsiran sejarah mereka berbeza dengan apa yang diwar-warkan selama ini. Untuk pihak yang tidak bersetuju, boleh juga diadakan debat ilmiah, dan bukannya meneruskan permainan fitnah-menfitnah di media.

Firman Allah berkata:

"Sesungguhnya Tuhan kamu akan menjelaskan di hari akhirat apa yang kamu perselisihkan.”

Sehubungan itu, semua pihak harus kembali kepada akhlak Islam dan gesaan Rasulullah agar tidak memberi gelaran yang buruk kepada yang telah meninggal dunia.

Kita juga harus bersangka baik ketika menilai status Mat Indera, sedangkan kita tidak mengetahui sejauhmana tuduhan itu betul dan pada masa yang sama beliau tidak dapat membela dirinya.

Mungkin di saat kehidupannya, beliau ada melakukan kesilapan sebagai manusia biasa, namun kita dituntut baik sangka kepada beliau, mungkin dalam tempoh tahanan beliau telah bertaubat dan memohon keampunan dari Allah, apatah lagi beberapa maklumat penjaga kubur memberikan gambaran baik terhadap beliau.

Fakta yang ada saling bertentangan antara satu sama lain. Di satu pihak, beliau tidak pernah menganut fahaman komunisme, seorang penghafal Quran, berakhlak baik sebagaimana yang ditulis dalam buku Pengukir Nama Johor.

Belah satu lagi pula membuat pelbagai tuduhan negatif yang menyatakan beliau adalah sebaliknya.

Yang ada hanyalah warisnya yang membuat penafian semua tudahan liar itu. Apakah ada yang lebih hampir selain waris bagi kita berbaik sangka kepada beliau?

Dalam isu ini, PAS telah membuat pendirian yang jelas. Namun, kami percaya sebagaimana jelas pun pendirian kami, media perdana milik Umno tetap akan memutar kenyataan untuk menutup segala isu-isu rakyat yang lebih meruncing seperti kenaikan harga barang, isu penyelewengan daftar pilihanraya, isu memberikan kerakyatan untuk mendapatkan undi, isu rasuah, isu pembaziran Kementerian Pertahanan, isu penjualan saham Esso dan MAS, isu cincin RM24 juta, isu Bersih 2.0 dan terbaru isu cukai topup 6 peratus.

PAS juga meminta semua ahli dan seluruh umat islam mengadakan solat hajat dan tahlil arwah sempena Hari Malaysia 16 September kepada seluruh pejuang kemerdekaan dalam menentang penjajahan Inggeris, termasuklah kepada roh Mat Indera, Dr Burhanudin Helmy, Dr Zulkifli Mohamad dan selainnya. Majlis ini juga diharap akan membangkitkan semangat jihad bagi menegakkan keadilan dan kemenangan dalam menghadapi pilihanraya umum ke-13 akan datang.

Diharapkan juga agar seluruh kawasan mengadakan ceramah khas erti kemerdekaan dari perspektif Islam. Semoga dengan majlis ini akan memperkukuhkan ingatan kita kepada perjuangan generasi awal dalam memerdekakan negara dari penjajahan asing.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
9 September 2011

MALAYAN UNION

Pelbagai masalah yang tercetus dalam masyarakat kita hari ini, antaranya kerana gagal menyelusuri dan memahami sejarah. Ada yang mempertikaikan institusi raja dan membangkitkan hak orang Melayu. Mengambil iktibar dari peristiwa lalu, jelas kepada kita bahawa kekuatan sesuatu bangsa dan negara terletak keoada kekukuhan jati diri setiap warganya, kewibawaan pemimpin dan kedaulatan raja-raja.

Malah pengorbanan pemimpin terdahulu dalam memerdeka dan membangunkan negara ini wajar dihargai dan dijadikan teladan oleh semua. Raja-raja Melayu pula berperanan sebagai penaung dan tonggak perpaduan bagi semua rakyat tidak mengira kaum, bangsa dan agama yang dianuti.

Dalam sekian lama mempertahankan hak dan kedaulatan orang-orang Melayu, Raja-raja Melayu tidak sekali-kali mengenepikan hak kaum lain. Sebagai rakyat kita perlu meletakkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi terhadap raja kita.

Oleh itu marilah kita hayati pengajaran daripada peristiwa Malayan Union. Setelah tamat perang dunia kedua, British telah mentadbir semula Tanah Melayu melalui Pentadbiran Tentera. Dalam pada itu, kerajaan British telah bersedia dengan satu sistem pentadbiran sivil yang mengejutkan seluruh rakyat Tanah Melayu iaitu Malayan Union.

Pentadbiran Malayan Union (1.4.1946 -1948), secara umumnya telah menukar taraf kedudukan Tanah Melayu sebagai sebuah negeri naungan kepada negeri jajahan British. Kuasa pentadbiran Tanah Melayu terletak sepenuhnya kepada Gabenor British. Ini menyebabkan raja-raja Melayu bukan sahaja kehilangan kuasa melindungi rakyat negerinya malah turut kehilangan kuasa memerintah negeri masing-masing. Sebaliknya bidang kuasa baginda hanya dihadkan kepada hal-hal berkaitan adat resam dan agama Islam sahaja.

Malayan Union juga memperuntukkan undang-undang baru yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang lahir di Tanah Melayu dan Singapura tanpa mengira bangsa termasuk juga pendatang yang telah tinggal melebihi 10 tahun. Warganegara Malayan Union juga akan memperoleh hak-hak yang sama termasuk penerimaan masuk ke dalam perkhidmatan awam.

Kuasa raja-raja Melayu dan persoalan kerakyatan di bawah Malayan Union ini telah membangkitkan kemarahan seluruh orang Melayu. Perasaan tidak puas hati ini mula tersebar luas. Suara-suara kritikan diluahkan dalam akhbar-akhbar Utusan Melayu, Majlis dan juga Warta Negara. Para cendekiawan dan pemikir menyuarakan keresahan dan melontarkan idea bagi membangkitkan semangat agar orang Melayu bersatu dalam menggalas masalah yang dihadapi secara lebih telus dan bersepadu.

Situasi ini akhirnya telah mencetuskan satu gelombang bersepadu antara suara rakyat dan pemerintah dalam menentang dasar Malayan Union. Kemunculan Malayan Union menyuntik kesedaran orang Melayu bahawa perjuangan besar untuk mendapatkan kembali maruah dan kedaulatan negara tidak mungkin tercapai dengan suara minoriti.

Menyedari hakikat ini, satu kongres yang menghimpunkan 41 buah persatuan Melayu seluruh negara diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Selangor pada 1 hingga 4 Mac 1946. Kongres ini didokong dan digerakkan oleh Zainal Abidin Ahmad (Zaaba), Pengerusi Persekutuan Melayu Selangor, Dato Onn Jaafar, Yang Dipertua Pergerakan Melayu Semenanjung dan Dato Panglima Bukit Gantang, Yang Dipertua Ikatan Melayu Perak, bersama-sama pemimpin-pemimpin pertubuhan Melayu yang lain di seluruh Persekutuan Tanah Melayu.

Kongres Melayu yang pertama ini telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor iaitu Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj. Dalam ucapan perasmiannya, baginda Sultan amat menyokong penuh penubuhan sebuah Persatuan Umat Melayu yang kuat di Tanah Melayu bagi menjamin kepentingan dan hak orang Melayu serta negara terus terpelihara. Kongres yang berlangsung selama empat hari tersebut telah membuat tiga ketetapan utama iaitu, penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR), membantah penubuhan Malayan Union dan mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu.

Dengan ketetapan tersebut, akhirnya UMNO secara rasminya diisytiharkan penubuhannya pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor. Cogankata ”Hidup Melayu” mendasari perjuangan UMNO pada ketika itu yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Apabila Tunku Abdul Rahman mengambil alih pucuk pimpinan UMNO, cogankata ”Hidup Melayu” ditukar kepada ”Merdeka”. Berlandaskan cogankata ini, perjuangan UMNO diperhebatkan sehingga negara berjaya beroleh kemerdekaan.

Kejayaan tersebut adalah hasil permuafakatan dan sokongan padu seluruh rakyat kepada pemimpin dan Raja-raja Melayu. Rakyat mulai sedar, kita tidak boleh selamanya berada di bawah telunjuk penjajah. Fenomena ini merupakan satu kejutan besar kepada pihak British yang sentiasa beranggapan bahawa orang-orang Melayu adalah bangsa yang lemah dan pasif dalam mengendalikan keperluan serta kepentingan masyarakat mereka sendiri.

Rentetan peristiwa sejarah negara ini amat penting difahami dan dihayati oleh semua rakyat negara ini, tanpa mengira lapisan masyarakat dan batas kaum. Malayan Union walaupun singkat usianya, meninggalkan impak yang amat hebat dan ia merupakan satu pengajaran yang amat berharga buat kita semua sebagai generasi pewaris.

Satu perkara menarik yang perlu diketahui umum, kegagalan pelaksanaan Malayan Union di Tanah Melayu tidak langsung bergantung kepada kekuatan bala tentera atau jumlah senjata yang digunakan. Tidak juga melalui sebarang pertempuran atau keganasan. Sebaliknya, penentangan yang diajukan adalah melalui pergabungan kuat suara rakyat serta pemimpin yang dipayungi Raja-raja Melayu. Penyatuan suara ini juga amat unik sehingga dapat merungkai segala percaturan dan rancangan rapi yang disusun oleh pihak British.

Jalinan erat kerjasama antara rakyat, pemimpin dan raja ibarat selirat akar di umbi. Teguh akar dan umbi, maka teguhlah pokoknya.Cetusan semangat dan inspirasi dari Malayan Union perlu diambil dan disemat sentiasa dalam jiwa setiap rakyat ketika mengharungi apa jua kemelut dan keadaan. Ketelusan, kebijaksanaan dan kewibawaan pemimpin pula akan membawa rakyat dan negara ke arah kemajuan yang seimbang, kemakmuran dan kesejahteraan.

Hakikat yang perlu kita fahami ialah institusi raja yang diwarisi secara tradisi sejak dari dahulu ini sesungguhnya amat penting buat kita semua dan wajar untuk ia dipertahankan bersama. Jika hilang tradisi ini, maka hilanglah tonggak warisan negara. Dan hilangnya juga tidak akan berganti lagi.

sumber : www.arkib.gov.my

Saturday, August 27, 2011

LATAR BELAKANG DIPLOMASI PING-PONG.



Ketika masih di Tingkatan Lima, beliau pernah mengarang dan menyampaikan pidato yang agak luar biasa bagi seorang pelajar yang sebaya dengannya. Pidatonya mengenai ‘Diplomasi Ping Pong’ (iaitu mengenai pembuka hubungan diplomasi antara Amerika Syarikat dan China) menarik perhatian guru besarnya. “Suatu hari awak akan jadi ahli politik,” kata guru besar itu. Akhirnya, apabila Hj. Mohamad Sabu bertanding dalam Pilihanraya Umum 1982 di mana bekas guru besarnya itu kebetulan menjadi pegawai pilihanraya, beliau memberitahu Mohamad, “Tengok, betul dak apa yang saya kata dulu!”



Dalam politik, pegangan Hj. Mohamad adalah selaras dengan pemikiran pemimpin yang amat disanjunginya, Imam Khomeini. “Kebenaran (truth) lebih penting dari kemenangan (victory),” itulah yang terus dilaungkan dalam ceramah-ceramahnya. “Kalau mereka tuduh kita gila kuasa, kita mengaku: Ya, memang kita gila kuasa. Sebab, dengan kuasa kita boleh merubah keadaan negara kita yang dicengkam kezaliman. Tetapi yang lebih penting dari kuasa (power) ialah kebenaran (truth)”.


Di awal penglibatannya dengan gerakan Islam, pemikiran Hj. Mohamad banyak dibentuk oleh pemimpin-pemimpin dan pembimbing-pembimbing yang terpengaruh dengan Ikhwan Muslimin. Berikutan pengalamannya berinteraksi dengan beberapa tokoh Ikhwan, Hj. Mohamad meneruskan pencarian dalam membentuk pemikiran politiknya. Beliau membaca dan mengkaji hasil tulisan tokoh-tokoh seperti Imam Khomeini, Ayatullah Mutahhari, Ali Shariati, Kalim Siddiqui, Muhammad Al-Asi, Jalaluddin Rachmat dan banyak lagi tokoh yang lain-lain. Di antara kalangan tokoh-tokoh tempatan pula, pemikiran dan pandangan Syed Naquib Al-Attas dan Tan Sri Musa Hitam menarik perhatian beliau.


Kejayaan Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 banyak memberi inspirasi kepada pandangan pemikiran politik Hj. Mohamad. Antara pendirian yang semakin teguh di jiwanya hingga sekarang ialah sikap anti Amerika Syarikat, negara yang disifatkan oleh Imam Khomeini sebagai syaitan besar. Beliau menentang sebarang hubungan yang tidak sewajarnya dengan syaitan besar itu dan sanggup melepaskan apa sahaja bagi mempertahankan sikapnya itu. Beliau juga sering merungut apabila ada suara yang seolah-olah memberi kredit kepada syaitan besar itu.

Selain dari Revolusi Islam, perkembangan-perkembangan yang berlaku di Filipina dan Indonesia di hujung kediktatoran Marcos dan Suharto pula mengukuhkan keyakinan Hj.Mohamad bahawa kezaliman hanya boleh ditumpaskan oeleh kuasa rakyat (people’s power). Meskipun beliau menerima pilihanraya sebagai cara menumpaskan kezaliman, tetapi beliau tidak menolak kebangkitan rakyat untuk menghancurkan kezaliman jika semua saluran lain dinafikan.

Bagi Hj. Mohamad Sabu, tahun 1979 adalah tahun yang penuh kenangan baginya. Selain dari kejayaan Imam Khomeini memimpin Revolusi Islam yang kemudiannya merubah politik dunia dan memartabatkan semula kekuatan politik umat Islam, pada tahun yang sama juga beliau berumahtangga. Isterinya, Hajjah Normah Alwi, juga seorang aktivis PAS yang aktif. Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat dan juga pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan. Mereka dikurniakan empat orang cahaya mata. Dua orang perempuan dan dua orang lelaki.

Penglibatan awal Hj. Mohamad dalam gerakan Islam ialah dengan menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1975 selepas dipecat dari Institut Teknologi Mara (ITM) kerana penglibatannya dalam tunjuk perasaan menentang Akta Universiti. Pada tahun 1978, Hj. Mohamad menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Pada tahun 1981, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat.

Pada tahun 1982, ketika baru berumur 28 tahun, beliau meletakkan jawatannya di dalam sebuah syarikat swasta untuk bertanding dalam pilihanraya. Beliau menjadi calon PAS di Kepala Batas menentang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga di DUN Penanti. Pada tahun yang sama juga beliau meninggalkan ABIM sebagai memprotes penyertaan presidennya pada masa itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke dalam Umno.

Pada tahun 1983, Hj. Mohamad dilantik sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat hinggalah tahun 1985. Dalam pilihanraya 1986 pula, Hj. Mohamad bertanding menentang Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, yang dianggap oleh banyak pihak sebagai pertandingan “dua seteru politik yang sukar didamaikan” pada ketika itu.

Pada tahun 1989, beliau dipilih sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda PAS pusat hinggalah beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan itu pada tahun 1997. Beliau mula menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada tahun 1991. Semasa menjadi Naib Ketua Dewan PAS Pusat, beliau dihantar untuk bertanding di Nilam Puri dalam Pilihanraya Umum 1990 yang penuh bersejarah di mana PAS berjaya menerajui semula kerajaan negeri itu. Dalam pilihanraya itu, beliau mengalahkan Datuk Annuar Musa dengan majoriti hampir 8,000 undi, dan menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri pada masa itu.

Dalam Pilihanraya Umum 1995, beliau memenangi kerusi Parlimen Kubang Kerian dengan majoriti lebih 10,000 undi, antara majoriti terbesar di Kelantan pada masa itu.

Dalam Pilihanraya Umum 1999 pula, ketika masih menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Kerian, beliau menerima tawaran PAS Kedah khususnya Presidan PAS, Ustaz Fadzil Noor sendiri, untuk bertanding di Kuala Kedah. Beliau memenangi kerusi Kuala Kedah dengan majoriti 991 undi, dan menjadi Ahli Parlimen Kuala Kedah untuk terus menyumbang baktinya kepada masyarakat di sana pula.

Manakala dalam Pilihanraya Umum ke 11 , pada tahun 2004 setelah beliau menjadi Ahli Parlimen sebanyak 3 penggal, beliau kalah bertanding di kawasan Parlimen Kuala Kedah dengan kekalahan majoriti sebanyak 10,214 undi.

Tahun 2008 pula, di mana gelombang rakyat yang memenangkan Pakatan Rakyat (dalam gabungan PAS, PKR dan DAP) untuk memerintah di lima buah negeri, iaitu melalui Pilihanraya Umum ke 12 pada bulan Mac 2008 , Hj Mohamad telah mengalami kekalahan sekali lagi ketika bertanding di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, dengan kekalahan yang tipis sebanyak 628 undi sahaja.

Perjuangan Hj. Mohamad di dalam PAS menghadapi pelbagai cabaran. Antaranya, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1984 semasa beliau menjadi aktivis Dewan Pemuda PAS Pusat. Selepas ditahan selama 60 hari di Kuala Lumpur, beliau dibuang daerah ke Kuala Pilah pada September 1984 hinggalah September 1986 dengan pergerakan terhad selama dua tahun. Sebelum ditahan di bawah ISA, beliau pernah dikurung di dalam lokap selama dua minggu pada tahun 1975 kerana penglibatannya dalam tunjuk perasaan pelajar ITM menentang Akta Universiti.

Dalam tahun 1987 pula, iaitu dalam Operasi Lalang, Hj. Mohamad sekali lagi ditahan di bawah ISA (penahanan kali kedua). Beliau di kurung di Kamunting sehingga Januari 1990. Beliau ditahan bersama ramai anggota pembangkang dari PAS dan DAP di bawah Operasi Lalang. Semasa dalam tahanan beliau berkenalan dengan YAB Lim Guan Eng kini menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Bagi Mohamad Sabu ketegangan itu berpunca dari memarakkan api perkauman di antara MCA yang melibatkan Tan Sri Lee Kim Sai dan Pemuda UMNO yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak kini adalah Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Menteri Besar Selangor ketika itu berhubung isu tuntutan Timbalan Perdana Menteri yang dimainkan oleh MCA. Walaupun dibebaskan dari Kamunting, beliau terus dikenakan perintah tahanan daerah di Shah Alam hinggalah April 1990. Beliau selalu mengulas penahanannya di bawah Operasi Lalang itu. “Umno berkelahi dengan MCA, aku yang ditangkap,” kata beliau.

Setelah dilantik sebagai Ketua Lujnah Buruh dan Setinggan PAS, Hj. Mohamad mempertingkatkan lagi usahanya untuk membela nasib kaum buruh dan setinggan yang memang menjadi minat beliau. Antara lain, beliau pernah berusaha untuk mendapatkan pam air dan janakuasa elektrik untuk penduduk setinggan Kampung Chubadak di Kuala Lumpur setelah dikenakan tindakan zalim melalui pemotongan bekalan air dan elektrik untuk menghalau mereka. Dalam membela nasib setinggan, beliau sanggup bergaduh dengan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang mengambil sikap berlepas tangan dan memimpin rombongan setinggan untuk berhadapan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau juga berusaha membela nasib Orang Asli di Tapah Perak sehingga akhirnya bantuan untuk mereka termasuk pakaian sekolah anak-anak mereka diberikan semula. Pada beliau, kejayaan yang paling manis ialah penglibatannya sebagai salah seorang peneraju utama perhimpunan rakyat untuk menentang pembinaan Jerai International Park yang melibatkan kawasan kira-kira 4,000 hektar termasuk sawah para petani. Perhimpunan itu disertai kira-kira 100,000 rakyat dan akhirnya projek tersebut dibatalkan.

Manakala jawatan tertinggi di dalam di dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) , beliau telah menjadi Naib Presiden selama 2 penggal berturut-turut, iaitu Sessi 2005-2007 dan Sessi 2007-2009.

Sekarang ini juga, beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi & Mobilisasi (Penggerak Demokrasi) , beliau juga adalah antara salah seorang peneraju utama yang memainkan peranan dalam menggerakkan rakyat dalam himpunan BERSIH pada 10 November 2007 itu, di mana melebihi 100,000 orang hadir di sekitar tengah bandaraya Kuala Lumpur.


Diperingkat antarabangsa, Hj. Mohamad pernah menyertai rombongan lapan Ahli Parlimen Islam dari seluruh dunia yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan, menemui Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ketika itu, Boutros Boutros Ghali. Beliau juga menyertai pelbagai seminar di peringkat antarabangsa termasuk Seminar Buruh di Pakistan, Seminar Mengenai Bosnia Herzegovina di London dan Seminar Gerakan Islam di Afrika Selatan. Beliau juga pernah menjadi tetamu dan bercakap di Radio 786 di Afrika Selatan. Beliau juga aktif memperjuangkan nasib umat Islam Palestin, Acheh, Pattani, Selatan Filipina, Kashmir dan lain-lain.

Hj.Mohamad juga seorang peminat seni yang aktif semasa di ITM. Beliau amat berminat dalam drama dan lakonan serta pernah menjadi Juara Pantun di ITM Jalan Othman pada tahun 1973.

Ketua Wanita KEADILAN Bukit Gelugor peluk Islam!


SESUNGGUHNYA hidayah itu datangnya mutlak dari Allah SWT. Berita gembira buat kita semua dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini apabila Ketua Wanita KEADILAN Bukit Gelugor, Cheryl Chew memeluk Islam petang semalam.

Beliau melafazkan kalimah Syahadah pada pukul 3.00 petang semalam di pejabat JIM Bukit Malawati. Dimaklumkan bahawa beliau kini menggunakan nama Huda Chew.


Antara rakan-rakan Cheryl yang menitiskan air mata kegembiraan dengan keislaman beliau. Dimaklumkan juga bahawa beliau menerima banyak hadiah berupa tafsir Al-Quran dan buku-buku agama dari rakan-rakan terdekat.


Difahamkan, sebelum ini Cheryl telah mula berpuasa dan mendalami Islam secara berperingkat sebelum mengambil keputusan untuk memeluk Islam di dalam hari yang bersejarah semalam.

source: http://milosuam.blogspot.com/2011/08/ketua-wanita-keadilan-bukit-gelugor.html#ixzz1VzQucml9

DPPK Batu Kawan santuni penduduk Kg Baru dalam Majlis Sumbangan Aidilftri bersama JKKK dan Pejabat Adun Bukit Tambun.

21.08.11( Kg Baru ) – DPPK Batu Kawan bersama-sama JKKK Kg Baru dan Pejabat Adun Bukit Tambun telah mengadakan Majlis Sumbangan Aidilfitri kepada 58 orang penduduk Kg Baru pada hari Ahad 21hb Ogos yang lalu. Ketua DPPK Batu Kawan ,Mohd Sofi Abu berkata bahawa majlis sumbangan seperti ini adalah merupakan ingatan DPPK kepada golongan Asnaf yang perlu diberi perhatian dan kebajikan.


Turut bersama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi JKKK Shahidi Sheriff dan beberapa pegawai pembantu dari Pejabat Adun Bukit Tambun.

Mereka yang menerima sumbangan adalah terdiri dari warga emas , pesakit kronik dan golongan kurang upaya.

Warga emas Abd Halim Ahmad yang turut menerima sumbangan dari DPPK berkata bahawa beliau amat berpuas-hati dengan Majlis Sumbangan Aidilfitri kali ini kerana golongan yang diberi sumbangan menetapi sasaran.











Wednesday, August 24, 2011

Menjawab kekeliruan Umno terhadap perjuangan PAS - Tok Guru Nik Aziz.




Sesungguhnya Umno menyambung kerja Inggeris, sebab itu mudah bagi dia untuk mempengaruhi rakyat yang sekian lama terdidik secara sekular. Kita, PAS pula menyambung kerja Nabi Muhammad SAW sehingga semua manusia yakin kerja politik dan agama tak boleh dipisahkan. Sebab itu Umno marah kepada PAS kerana melaksana kerja Nabi yang berlawanan dengan ajaran sekular. Pagar kita diceroboh oleh ayam kambing mereka. Kita kena tutup pagar kita daripada diceroboh, walaupun dimarah oleh Umno.

Persoalannya, apakah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu serupa dengan kehendak sekular (agama lain, politik lain). Kalau serupa dengan kehendak sekular, tidakkah tindakan Nabi Muhammad menyampaikan salam perjuangan, buat perjanjian, mengadakan hubungan diplomatik dengan ketua-ketua kerajaan di Eropah itu adalah semata-mata untuk menyampaikan dakwah Islam. Menunjukkan Islam yang dibawa oleh Nabi itu bukannya ajaran serupa sekular yang menjadi pegangan Umno.

Nabi dan politik bernegara

Demikian pula, Nabi sendiri ada cop mohor (cincin). Ia suatu lambang kuasa dalam urusan kerajaan dan politik bernegara. Dan di dalam al-Quran sendiri menyebutkan masalah muamalat, jenayah dan pemerintahan. Bukan hal spiritual sahaja. Hal kerajaan, peperangan dan perdamaian. Malah ketika peperangan turut dijelaskan aturan dan peraturan yang boleh dan tak boleh (do’s and don’t). Misalnya, ada pantang larang tak boleh bunuh orang tua, kanak-kanak, hatta golongan ‘ahbar’ yang berada di dalam gereja/biara tak boleh dibunuh semasa peperangan.

Kalau Islam untuk spiritual sahaja apa maknanya, sampai Allah pelihara Nabi selama 23 tahun menjalankan dakwah dan dan bertugas sebagai nabi dan rasul. Nabi telah menempa segala macam ujian dan rintangan serta penentangan daripada pelbagai pembesar Quraisy dan pihak berkuasa.

Sementara Umno sejak dari PAS ditubuhkan, malah sebelum itu sebuah gerakan Islam bernama Hizbul Muslimin, sentiasa menjadi serangan fitnah. Kelihatan sangat, Umno begitu dengki kepada PAS, kerana PAS boleh buat apa yang dia tak boleh buat, iaitu melaksanakan apa yang Islam suruh dan mencegah apa yang Islam larang.

Islam di sisi Umno

Sebenarnya, Islam di sisi Umno adalah ‘pecah-belah’ dan kita tidak sepatutnya terperangkap dengan tuduhan liar dan fitnah yang dicanang oleh mereka itu.

Umno sepatutnya terima Islam, kalau benar dia parti yang dipimpin oleh orang Islam, dan kalau nak jadi parti yang mewakili umat Islam. Apakah yang susah sangat bagi Umno nak ubah dasar? Tak kena di mana Islam, berbanding dengan dasar kebangsaan mahu pun demokrasi.
Bab demokrasi pula, benarkah Umno yang memerintah negara sekarang ini benar-benar melaksana demokrasi? Lihat saja apa yang berlaku, sampai ke peringkat parti pembangkang tak terasa, bagaimana demokrasi sebenar.

Demokrasi tempang

Sebaliknya, setiap kali pilihan raya, berlaku keadaan ‘padang tak sama rata’ kerana Umno dan parti-parti di bawah BN mendapat segala kemudahan atas nama kerajaan untuk berkempen. Sedangkan kita PAS dan rakan Pakatan Rakyat ditekan dan dinafikan hak berkempen secara bebas. Natijahnya tiada kebebasan bersuara, berkempen dan terlalu berat sebelah. Munasabahnya demokrasi kita ini adalah demokrasi tempang––demokrasi pun tidak Islam jauh sama sekali––diamalkan oleh Umno sekarang ini.

Malah, melihat kepada amalan demokrasi di beberapa negara jiran, mereka lebih berjaya. Demokrasi subur di Indonesia, Thailand dan Kemboja. Sedangkan mereka negara baru dalam dunia demokrasi. Amalan demokrasi di negara tersebut, mereka lebih telus, terbuka dan hak parti bertanding dilayan secara adil dan ada kebebasan serta keamanan berkempen termasuk dalam media milik kerajaan. Misalnya, dalam isu daftar pemilih peraturannya mudah, pengundi boleh mendaftar di saat akhir menjelang pilihan raya dan boleh mendaftar melalui wakil badan pilihan raya di tempat mereka akan mengundi.

Bandingkan dengan tempat kita, peraturan yang ada menyulitkan kerana dilaksana secara berpusat, masanya panjang, paling cepat empat bulan lepas mendaftar baru sah sebagai pemilih. Kenapa susah sangat nak pinda peraturan pendaftaran pemilih? Nampak sangat Umno guna ruang daftar pemilih sebagai penyelamat kuasa. Perkara ini boleh dijadikan modal dan penjelasan seluas-luasnya kepada rakyat sebagai asas menolak Umno dalam pilihan raya nanti.

Minta PAS berbaik

Justeru kita perlu menegaskan, Islam sentiasa mengutamakan hak rakyat sebagai pendukung utama kepada sistem yang adil. Maka pihak yang berkuasa perlu melaksanakan apa sahaja keadilan untuk semua rakyat sebagaimana diajar di dalam Islam.

Seperkara lagi, Umno kebelakangan ini nampak sangat cemas dan kalut. Sehingga guna orang tertentu dan NGO, minta PAS berbaik dengan Umno atau minta masuk BN. Setengahnya pula kata PAS yang beria-ia nak berbaik.

Kita kena katakan kepada mereka, sejarah dulu bukan PAS yang beria-ia masuk BN. Masa itu, yang datang pujuk adalah Tun Razak. Atas maslahat masa itu, kita terima pujukan. Tapi apa yang terjadi budi kita tidak dikenang, selepas mereka kuat kita ditendang keluar.

Atas prinsip ini, kita harus tegaskan bahawa PAS dan Umno adalah tak sama. Hatta Rais Yatim pun satu ketika dalam Semangat 46 dulu menyebutkan slogan PAS dan Umno adalah tak sama. PAS ada prinsip akidah perjuangan Islam, Umno pula kebangsaan Melayu. Jika masuk Umno, maknanya kita bersama kebangsaan Melayu dan ketika itu mungkin Islam diketepikan. Ia mustahail bagi sebuah gerakan Islam. Melainkan Umno sedia tukar dasar perjuangannya dan terima Islam.

PAS bersama semua

Sekarang pula, PAS semakin mendapat sokongan golongan bukan Islam. Selain itu, kita berjaya tubuh dewan himpunan PAS yang dianggotai rakan kita, orang bukan Islam, kita juga sudah berkawan rapat dan berjaya merapat jurang hubungan antara kaum melalui parti DAP. Paling penting ialah DAP yang sebelum ini ditohmahkan sebagai anti-Islam, kini sudah menyokong perjuangan PAS. Malah boleh duduk bersama memerintah Negeri. Tunggu masa, insyaAllah boleh bersama memerintah Negara!

Kesemuanya adalah nikmat yang diraih oleh PAS setelah bertahun-tahun bersendirian berjuang melawan Umno untuk membuktikan keadilan Islam. Mungkin atas dasar itu, Umno sekarang berminat kepada sokongan PAS. Malah Umno dilihat semakin dengki kepada PAS kerana berjaya menganjurkan program keagamaan seperti sembahyang hajat perdana dan munajat anak muda.

Hakikatnya, Umno tak layak menganjurkan program sebegitu kerana akan menjadi bahan ketawa orang. Meskipun bersama mereka ada menteri bahagian agama dan ulama muda. Masakan nak bermunajat dan sembahyang hajat, sedangkan dasar perjuangan Islam mereka tolak. Mereka ambil perjuangan sekular.

PAS berbeza dengan Umno

Semua perkara yang dinyatakan ini adalah hakikat berbezanya perjuangan Islam di bawa PAS dengan perjuangan kebangsaan-sekular Melayu dibawa oleh Umno. Atas dasar berbeza itu, kini PAS semakin mendapat sambutan pelbagai lapisan rakyat.

Justeru pengalaman PAS di Kelantan hari ini cukup jelas untuk Umno berfikir. Bahawa PAS bukan lagi parti ‘tok lebai’ seperti yang disyarahkan oleh tukang syarah Umno. Dalam mengurus Negeri (menjalankan kerajaan) di Kelantan, ia merupakan gandingan mantap mereka yang pakar dalam pelbagai bidang. Ada doktor, loyar, pensyarah, bekas tentera, aktivis ABIM, JIM yang cukup berwibawa. Di manakah kurangnya PAS berbanding Umno? Sebaliknya Umno itu dianggap kurang kerana tidak mahu terima Islam sebagai dasar parti dan dasar pemerintahan Negara.

Tambah lagi, dalam Islam ada segala-galanya, termasuklah Islam mengajar umatnya tentang hari akhirat yang ada pembalasan. Prinsip pembalasan di akhirat ini turut dipakai dalam perjuangan PAS. Justeru kita PAS yakin atas semua perkara yang kita perjuangkan menerusi PAS ini akan dihisab nanti di akhirat. Inilah PAS dan itulah Umno yang tidak menerima prinsip adanya pembalasan di akhirat. Maka apa jaminan Umno untuk berdepan dengan kiamat, syurga dan neraka. Jika menghayati peringatan Allah SWT dalam persoalan ini, sebagaimana firman-Nya (surah Al Infitaar ayat 13-15):


Apakah persoalan hari pembalasan sebegini termasuk di dalam perkiraan Umno? Apakah dasar Umno dapat melepas diri daripada bakaran Neraka Allah?Demikian pula firman-Nya (surah At Takweer ayat 25-29):


Demikian sedikit gambaran dari Allah SWT tentang kedudukan kita ketika di akhirat. Apakah Umno sedia memasukkan agenda akhirat ini dalam perjuangannya. Bahawasanya, perjuangan Islam sahaja yang layak bercakap mengenai urusan akhirat kerana akhirat itu salah satu rukun iman yang dijulang dan diyakini oleh setiap perjuang Islam. Bagaimana pula Umno menilai diri/partinya mengenai akhirat?

Akhirnya, beringatlah kita semua, ‘bila jiwa (roh) di langit masuk balik ke dalam tubuh’ maka akan berhadapanlah kita di padang Mahsyar. Hanya Allah yang Maha Adil atas setiap perbuatan hamba-Nya. Firman Allah (surah az-Zilzaal ayat 7-8):


Semoga kita semua berada di landasan kebaikan dan sentiasa menjauh diri daripada kejahatan. Demikian jaminan Allah untuk kehidupan yang hasanah di dunia dan akhirat.

Monday, August 22, 2011

Tiada demo Pemuda PAS P Pinang sokong Jais

PULAU PINANG, 22 Ogos: Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang tidak pernah berdemo menyokong Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Masjid Simpang Enam sepertimana yang tersiar di Utusan online baru-baru ini.


Setiausahanya, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berharap Utusan online lebih berhati-hati ketika menyiarkan berita seumpama itu kerana ia boleh memburukkan nama baik Dewan Pemuda PAS negeri.

Sebenarnya, jelas beliau perhimpunan selepas solat Jumaat tempoh hari dianjurkan oleh bekas Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Hafiz Nordin menerusi badan bukan kerajaan (NGO) yang diterajuinya.

"Jika Dewan Pemuda PAS Negeri nak anjurkan, bukan 20 yang hadir malahan ratusan. Kami mempunyai displin sebab tidak memandai-mandai buat demo sebab ia belum mendapat rumusan daripada PAS sendiri ekoran pembatalan di saat akhir oleh pihak Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) serta Jais untuk berjumpa pemimpin PAS," jelasnya.

Katanya, kesan berita yang tidak tepat itu menyebabkan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mendapat kencaman hebat daripada blogger yang tidak mengetahui perkara sebenar.

"Sedangkan Dewan Pemuda PAS negeri tidak tahu menahu soal demo secara aman berkenaan," ujarnya

Ehsan dari Harakahdaily